.jpg)
Siapa aku?
Adakah insan kebanyakan
Yang saban hari
Belajar, bekerja, berehat,
Tidur, makan, berbual, bermain,
Menonton, membaca majalah,
dan mengulangi semua itu, tanpa jemu?
Adakah aku insan kebanyakan
Yang tak hirau sekeliling
Yang tak kenal umat yang makin pening
Yang tak endah urusan dunia
Yang tak ingat saudara di lain benua
Yang tidur nyenyak saban malam?
Adakah aku insan kebanyakan
Yang membesar-besarkan hal remeh
Yang memandang enteng agama dan maruah
Yang sukar meminjamkan masa untuk tahu hal dunia
Yang payah meluangkan waktu untuk menambah ilmu di dada
Yang lokek harta untuk menyumbang demi agama?
Adakah aku insan kebanyakan
Yang hanya tahu bermain lidi
Yang hanya dalam dunia sendiri
Yang hanya berbelanja untuk diri
Yang hanya fikir perut mahu diisi
Yang cinta dunia dan takut mati?
Na'uzubillah! Ya Allah, jauhkanlah!
Aku bukan insan kebanyakan
Aku bukan insan biasa
Aku bukan seperti mereka
Aku mahu jadi luarbiasa
Aku mahu jadi Muslim Super
Aku mahu jadi Mukmin Professional
Kerana aku kenal Tuhan dan amanah yang dipertanggungjawabkan
Kerana aku kenal Rasul dan risalah agungnya yang disampaikan
Kerana aku kenal sejarah perkembangan deen ini yang tiada bandingan
Apakah amanah itu?
Tunduk dan patuh pada perintah Allah tanpa sebarang bantahan,
Menyerahkan sepenuh jiwa dan pergantungan hanya padaNya,
Dan mengamankan dunia sebagai khalifah,
Dengan mengajak manusia lain kembali kepada amanah ini,
Kerana hanya dengan tertunainya amanah ini, dunia akan aman
Kerana Islam bermaksud aman, sejahtera, selamat...
Itulah tugas Rasul, yang telah memulakan tamadun agung,
Dengan membangunkan Deen ini,
Membina jiwa-jiwa manusia agar fikir DUNIA,
Untuk membawa mereka kepada keluasan AKHIRAT,
Maka terbentuklah tamadun yang tidak ada lawan,
Hebat, menyinari 2/3 dunia, membawa keamanan dan keagungan.
Mereka yang bersama membangunkan tamadun itu
Bukanlah insan kebanyakan,
Bukanlah insan biasa.
Mereka berjiwa merdeka
Bertuhankan Allah, berpandukan wahyu,
Segala usaha hanya mengharap redhaNya.
Aku.. ingin seperti mereka..
Aku yakin, sirna Islam akan gemerlap semula
Namun ia perlukan tentera mukmin komited untuk mencapainya
Dan aku ingin menjadi sebahagian dari jundullah itu
Bersama keluarga, sahabat dan masyarakat Islam lainnya
Membina semula jiwa-jiwa dengan nilai Islam nan indah
Mengulang sejarah gemilang, meraih Mardhatillah.
insyaAllah!
Itu Aku.. Bagaimana Kamu?